WhatsApp-Image-2020-10-12-at-11.26.34-AM

 

Bukit Senorang

Ketinggian 362m /1069ft

Terletak di Kampung Dato’ Sri Hamzah, Kemayan Pahang. Lokasi yg santai dan menarik utk beriadah pada hujung minggu dan ianya telah diwartakan sebagai pusat reakrasi di Bera Pahang. Dari permulaan perjalananan hingga ke puncak mengambil masa 45minit ke 1jam mengikut keupayaan masing masing. Dihidangkan dengan Pemandangan kebun kelapa sawit dan di kiri kanan pula kebun getah penduduk tempatan. Jika tuah bersama pendaki ketika hari tersebut, pasti pemandangan awan karpet yang cantik disajikan dan pastinya membuatkan pendaki ingin duduk lebih lama di puncak Bukit Senorang Tersebut.  

 

WhatsApp-Image-2020-10-12-at-11.25.52-AM

TASIK BERA

Kawasan pelancongan yang terdekat dengan kawasan Kemayan ini adalah Tasik Bera. Masa perjalanan dari Pusat Internet 1Malaysia Kg. Dato’ Sri Hamzah ke Tasik Bera dianggarkan mengambil masa selama 45 - 60 minit.

Tasik Bera merupakan tasik air tawar yang terbesar di Malaysia dengan keluasan kira-kira 61,380 ha dan terletak di bahagian Tenggara Negeri Pahang. Kawasan ini dijadikan sebagai Tapak Ramsar yang merupakan pertama di Malaysia diwartakan semasa Sidang Tanah Lembap Berkepentingan Antarabangsa pada 10 November 1994. Tujuan mewartakan menjadi Tapak Ramsar ialah untuk mengekalkan ciriciri ekologi tanah lembap tersebut dan disamping membenarkan penggunaan sumber-sumbernya secara mampan.

Ekosistem dan biodiversiti di Tasik Bera adalah pelbagai dan unik. Tumbuhan keladi paya (Cryptocoryne Purpurea) merupakan spesies endemik di Tasik Bera. Orang Asli Semelai pula merupakan komuniti pribumi yang bermastautin di tanah Tasik Bera sejak 600 tahun dahulu lagi. Komuniti ini bertutur dalam bahasa Semelai dan menggelar diri mereka sebagai Semaq Tasek yang bermaksud "Orang Tasik". Sejak dahulu lagi komuniti ini bergantung kepada tasik ini sebagai survival hidup mereka.

Selain itu, pelbagai aktiviti boleh dijalankan di Tasik Bera ini, antaranya ialah perkhemahan, memancing, berkayak  dan sebagainya. Pengunjung juga boleh memilih untuk menginap di chalet yang disediakan dengan harga berpatutan. Bagi mereka yang mencintai alam sekitar, Tasik Bera merupakan pilihan yang terbaik.

 

 

HUTAN LIPUR DE BANA

Kemayan terletak hampir dengan sempadan Negeri Sembilan.Selain Tasik Bera, kawasan pelancongan yang terdekat dengan kawasan Kemayan ini adalah Hutan Lipur De Bana. Masa perjalanan dari Pusat Internet 1Malaysia Kg. Dato’ Sri Hamzah ke Hutan Lipur De Bana dianggarkan mengambil masa selama 30 - 45 minit.

Hutan Lipur De Bana atau kini dikenali sebagai Kem Latihan Khidmat Negara (PLKN) Hutan Lipur De Bana terletak di daerah Serting, Negeri Sembilan. Hutan Lipur De Bana terletak di kawasan Lui dan sebahagian daripada hutan simpanan Pasoh yang berada di ketinggian lebih kurang 200 meter dari paras laut.

Sebaik sahaja pengunjung masuk ke kawasan ini, pengunjung boleh melihat gunung-ganang yang menjadi latar belakang hutan lipur ini. Terdapat beberapa kemudahan yang disediakan di sini seperti pondok rehat, tapak perkhemahan dan denai hutan.

Selain dibangunkan kem latihan untuk para pelatih PLKN, hutan ini juga dibuka untuk orang ramai yang ingin beriadah dan berkelah di air terjun yang terdapat di sini. Kawasan sekitar yang bersih dan nyaman sesuai untuk dijadikan tempat berkumpul bagi seisi keluarga. Bagi yang sukakan cabaran, boleh mencuba aktiviti jungle trekking dengan meredah denai dan hutan mengikut laluan yang disediakan.