Kemayan

Sekitar tahun 1960-1970, Pekan Kemayan di Daerah Bera, Pahang amat terkenal kerana di situlah bermulanya penghijrahan penduduk dari negeri lain untuk berkerja di ladang - ladang kelapa sawit. Sistem perhubungan kereta api merupakan satu-satunya perkhidmatan awam terkenal yang menghubungkan Kemayan, sebuah kawasan terpencil di Negeri Pahang. Hanya yang tabah dan cekal semangat sanggup meninggalkan kampung halaman hanya untuk mencari sesuap nasi.

Kini, Kemayan dan kawasan sekitarnya telah jauh berubah. Kampung ini mempunyai pertambahan penduduk dan kawasan sekitarnya turut sama membangun. Jalan raya telah dibina untuk menghubungkan Kemayan dengan kawasan-kawasan lain. Kehidupan, ekonomi dan taraf hidup penduduknya juga turut berubah selari dengan pembangunan semasa.

Kg. Dato' Sri Hamzah

Nama kampung ini diabadikan sempena nama tokoh pemimpin yang sangat berjasa bukan sahaja kepada negeri Pahang tetapi juga negara. Tan Sri Hamzah  ialah bekas tokoh politik yang pernah menjawat pelbagai jawatan sehingga dilantik menjadi menteri di peringkat persekutuan. Jalan masuk ke kampung ini akan melalui Tasik Bera-Bahau, dimana sepanjang jalan dipenuhi dengan tanaman kelapa sawit. 

Meskipun masa telah berlalu, perjuangan dan jasa seseorang tokoh tidak mudah dilupakan begitu sahaja. Menurut sejarahnya, kampung ini dibuka secara berperingkat-peringkat dan namanya telah bertukar sebanyak 3 kali. Pembukaan peringkat pertama dilakukan oleh Allahyarham Tuan Haji Ghazali Awang yang juga abang kepada Haji Abdul Hadi Awang bersama-sama dengan 15 orang yang lain pada tahun 1978.

Pada peringkat awal pembukaan, kampung ini dinamakan Kg. Baru Kemayan, namun telah ditukar kepada Kg. Dato' Sri Hamzah mengambil sempena nama Allahyarham Tan Sri Hamzah bin Datuk Abu Samah, bekas ahli parlimen Temerloh. Pembukaan peringkat kedua pula telah diketuai oleh Mahassan bin Ali serta rakan-rakannya.