Kg. Dato’ Sri Hamzah merupakan kampung di Pahang yang masih lagi mengekalkan cara hidup tradisi. Kampung ini terletak kira-kira 5 km dari Pekan Kemayan dalam daerah Bera. Kampung Dato' Sri Hamzah boleh digambarkan sebagai sebuah kampung yang masyarakat majmuknya hidup harmoni. Berdasarkan komposisi penduduk, dianggarkan terdapat 800 orang penduduk di sini. Kesemua penduduk adalah berbangsa Melayu dan beragama Islam. Generasi muda berumur di bawah 40 tahun dianggarkan kira-kira 60 % dan selebihnya adalah yang berumur melebihi 41 tahun. Kira-kira 10 % daripadanya adalah warga emas yang berumur 60 tahun ke atas.

Kebanyakan penduduk di sini memperoleh rezeki menerusi sektor pertanian terutamanya kelapa sawit dan getah kerana ia merupakan sumber pendapatan tradisi yang telah wujud sejak dahulu lagi. Selain  itu, minat penduduk dalam bidang perniagaan juga telah cenderung melahirkan para usahawan dan peniaga yang terlibat dalam bidang pemakanan, perkhidmatan, bekalan barangan mentah, keperluan dan perkakasan harian serta pelbagai cabang perniagaan lain. Dalam menghadapi zaman globalisasi ini juga, tidak dapat dinafikan ramai di kalangan anak-anak muda berhijrah ke bandar mencari pekerjaan tetap sama ada di dalam sektor perkhidmatan awam atau swasta.

Dari segi politik pula, Daerah Bera mempunyai seorang ahli Parlimen iaitu Datuk Seri Ismail Sabri Bin Yaakob. Bagi ahli Dewan Undangan Negeri, Daerah Bera dibahagikan kepada 3 kawasan iaitu DUN Guai, DUN Triang dan DUN Kemayan yang dipimpin oleh YB. Encik Khaizulnizam Bin Mohamad Zuldin.